Dec 6, 2009

SELAMAT AIDILADHA & QURBAN



SALAM UNTUK SEMUA

Salam Aidiladha untuk semua yang melayari laman blog ini.
Alhamdulillah kita telah sama-sama meraikan hari raya Aidiladha
dengan rasa bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan
kesempatan bertemu kembali di hari barakah ini Hari raya Aidiladha
atau Hari Raya Qurban.

Tahun ini aku bersyukur kerana Anakku Nadzri dan isteri Nurhayati,
telah ke tanah suci Makkah mennaikan rukun Islam ke-lima,
menyempurnakan Ibadah Haji. semoga mereka mendapat
Haji Mabrur dan selamat pulang ke tanah air. AMIN!

Aku juga bersyukur kepadamu ya Allah, kerana tahun ini kami dari warga
Muslimin dan Muslimah, Taman Damansara Aliff Tampoi, JB- JDT,
buat pertamakalinya menjalankan ibadah Solat Aidiladha dan Qurban dua ekor
Lembu Si Hitam dan Si Puteh, di perkarangan Surat Muhajirin Muhammad, TDA.
Alhamdulillah! Terlaksana sudah hasrat menjalani ibadah Qurban mereka
yang bersedia berqurban demi menyahut seruan Illahi, agar lebih arif dan taat
kepada perintah Allah SWT.

Sempena sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini, semua ummat Islam
seluruh dunia menuruti perintah Allah agar berqurban sebagai
menyatakan rasa bersyukur kepadaNYA sebagaimana yang dilakukan
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menyatakan ketaatan menurut
perintah Allah SWT itu, kepadanya.


Oct 13, 2009

SANGGAR PUISI - MENGUNDANG RINDU













Lambang Kasih

Penanda ikatan tulus ikhlas utusan naluri
dari jiwa ke jiwa
mengundang rindu mendalam
erti sebuah tautan
kasih sayang dua insan..

Grafik Hiasan: Kreasi Kartika
Foto: Eunosasah

MENGUNDANG RINDU

Bertayangan gambar-gambar wajah
di pembaringan lesu letih seharian
benak penuh berserabut seribu persoalan
dalam diam yang terus mendesah, mendesak
bagai menanti meletusnya merapi.

Aku bosan menanti penuh harap
sebuah kemestian yang tidak ketahuan hujungnya
esok atau lusa dan seterusnya
ku tetap tidak dapat mengelak mendepani

suasana penuh kekalutan
dalam kemelut rindu yang dalam.

Semuanya mengancam fikiran
dalam anganan yang mengawang

mengundang rindu ini di kala tidur
tanpa pamit

menyelusuri langkah-langkah longlai
kerana semalam yang dijanjikan
entah kapan akan tertunai
segala yang belum pasti

hanya dalam mimpi ia tergambar.

Apalah jiwanya sebuah rindu
bila mengundangnya di kala pembaringan

bermulalah ia mengusik kenangan.

Eunosasah
Tmn Damansara Aliff JB
4 Oktober 2009

Oct 11, 2009

KENANGAN ABADI

Foto: Eunosasah
Foto ini ku rakam dalam satu majlis makan malam
COMPASS, persatuan Penulis Lirik, Pencipta Lagu, dan Puzik Singapura.
Kelihatan dalam Gambar Temanku Allahyarham Haron Abdulmajid
sedang menerima Anugerah COMPASS dari Yb. Encik Abdullah Tarmugi.

Oct 1, 2009

SALAM LEBARAN UNTUK SEMUA

SEMPENA Idilfitri yang mulia ini, kami sekeluarga
menyampaikan ucapan salam dan maaf zahir batin
kepada semua Muslimin dan Muslimat dimana saja
laman blog kami ini dapat di layari.












Foto keluarga: dari kiri, Abu Sofian Eunos,
Eunosasah, Isteri Nora dan Nadzirah Eunos.

Sep 6, 2009

SEKILAS KENANGAN BERSAMANYA....


Aku bergambar bersama M.Nasir, pencipta lagu puisiku
Kepada MU Kekasih, ketika bertemu beliau di K.L. 1984
Sekilas kenangan.... Sewaktu M. Nasir di Singapura dulu, ketika beliau mula bergiat dalam dunia hiburan - aku, M. Nasir dan seorang lagi teman S. Amin Sahab, serta kumpulan Ideal Sister ,Allahyarhamah Junainah atau Nana, isteri pertama M. Nasir serta A. Ali, kami merupakan teman akrab.
Kami semua sama bergerak di bidang hiburan dan drama tv/pentas dan kami pernah buat persembahan teater berbentuk satira, berjudul, SETIAUSAHA karya M. Nasir dan dipentaskan di Panggung Drama Canning Rise, pada 1982.

SANGGAR PUISI - DI PANTAI INI


Foto dirakam Eunosasah
Pantai East Coast Park - 2008
DI PANTAI INI
"....di sini, penuh debar menanti
bagai desir ombak
yang tidak pernah malas
menampar pantai
aku terus mengimbau
masa nan berlalu
masa nan datang meluru
persis deru bayu
di pantai ini
apakah masih ada
rentetan waktu yang membawa
kemilau kelmarin
tenggelam di dasar waktu
yang datang dan pergi
bagai ombak ini
dan tidak pernah henti
biarpun betapa lamanya
selagi setiamu
di sini..."
EUNOSASAH
Pasir Ris 1984
Dwi Mingguan Aneka

MAHUKAH KITA MENGGEMBLENG TENAGA DALAM...

SETELAH agak lama tidak bergiat aktif dalam mengadakan persembahan sastera dengan mengadakan majlis-majlis Baca Puisi bersama teman-teman penulis 70an, kini aku merasakan
sesuatu yang wajar pula jika kita dapat mempersembahkan di khalayak, majlis baca puisi atau deklamasi sajak yang disertai seluruh penulis Singapura dan undangan dari rantau Nusantara
ini di adakan di sini.

Aku suka cadangkan Majlis ini diadakan secara bersama dari semua badan dan pertubuhan penulis berbahasa Melayu di Singapura ini untuk menyertainya.

Ia juga di harap mendapat sokongan padu dari penulis kawakan, dan penulis muda yang kini baru menceburi bidang penulis ini dan semua lapisan masyarakat di sini.

Aku juga berharap pihak Media Massa, radio dan telivisyen, akhbar dan majalah serta badan-badan pertubhan Melayu seperti Majlis Pusat, Perkumpulan Seni, Sriwana, Penulis Remaja BH, Berita Harian/Minggu, ASAS 50, atau pun badan-badan berkanun seperti Perpustakaan Nasional, DPPMS dan badan koporat yang ada; boleh memikirkan corak kerjasama tersebut dan peranan masing-masing dalam mempromosi serta melestarikan sastera Melayu terus mekar di Singapura kini.

Aku hanya sarankan ini dan akan sentiasa bersama mereka yang mahu meneruskan cadangan ini.

Marilah kita fikir dan pastikan cadangan ini boleh kita lakukan bersama seperti kata pepatah;
"HENDAK SERIBU DAYA...TAK HENDAK SERIBU DALEH.."

Salam muhibah dan selamat meneruskan ibadah Puasa. Semoga kita bersua di satu pertemuan kelak. Amin!!!Wassalam.

TEMAN SETAMAN







AGI (Abdul Ghafar Ibrahim Teman penulis sejak awal 70an hingga kini. Bertemu semua dengan Aku semasa majlis Baca Puisi Nusantara di Taman Warisan Melayu, di Kg. Glam, Singapura - 2008.

Gambar atas:
TUN Sri Lanang, Djamal Tukimin, salah seorang sasterawan
Singapura yang prolifik dan pengasas juga pelopor Grup Gelorasa,
Beliau merupakan antara teman akrap a Aku yang dedikasi dan banyak memberi
panduan dan laluan kepada Aku di bidang penulisan sajak dan giat sastera
di Singapura.

Aug 23, 2009

NOSTALGIA BERSAMA TEMAN...


BERGAMBAR kenangan bersama pelopor Grup Gelorasa, MIA (Muhammad Ismail Abdullah) kiri, aku dan Cerpenis Iswardy sejurus selesai mengadakan persembahan Baca Puisi Nusantara
2008, bertempat di Taman Warisan Melayu Singapura, di Kg. Glam, dulu kawasan Istana Kesultanan melayu Singapura. Foto dirakam Abu Sofian Eunos.

KENANGAN BERSAMA DATUK SITI NURHALIZAH














KENANGAN memawancara Datuk Siti Nurhaliza sempena acara Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) 2001 di Putra World Trade Centre K.L.

Foto rakaman Hanim Mohd Salleh ini memaparkan aku sedang mewawancara Datuk
Siti Nurhalizah untuk liputan bagi ruangan hiburan Berita Harian/Minggu bersama Hanim.

Itulah kali terakhir tugas ku sebagai Wartahib Bebas dengan akhbar tersebut ketika bertugas bersama Hanim di K.L.

BERSAMA DEWI YUL... "KINI BARU KAU RASA"


Kenangan bersama penyanyi kesohor Indonesia
Dewi Yul, yang ketika itu amat popular dengan lagu berjudul,"Kini Baru Kau Rasa", ketika bertugas sebagai Editor majalah Al-Islam Singapura ketika mewawancara khas dengannya dalam satu majlis di Pusat Pameran Singapore Expo, 1995.

MENGIMBAU KENANGAN


KULIT muka buku
"Journeys: Words, Home and Nation"
Anthology of Singapore Poetry
(1984 - 1995 )
Dalam buku ini juga disiarkan salah sebuah
puisi ku berjudul; 'MASA LAMPAU dan MASA KINI"
dengan terjemahan Inggerisnya ; "PAST and PRESENT"
di muka surat 352/353.
Buku ini telah dilancarkan pada 27 Oktober 1995
Jam 6.15 petang di River House, Clark Quay oleh
Yang Amat Mulia H.E. Mr. Ong Teng Cheong,
Presiden Republik Singapura.
Ia merupakan antologi puisi penulis-penulis
Singapura di empat aliran bahasa, Melayu,
Cina, Inggeris dan Tamil, yang pertamakalinya dibukukan bersama. Ia juga merupakan sebuah penghargaan besar bagi kami penulis-penulis Singapura yang hasil karya puisi mereka terpilih untuk dumuatsiarkan dalam buku tersebut.
Di antara penulis mapan yang karyanya turut sama dimuatsiarkan di situ ialah;
Masuri S. N., Aliman Hassan, Noor S. I., A. Salam Mohd Latiff Mohd, Suradi Sipan, Asmin, Rasiah Halil, Norrulashikin Jamain, Johar Buang, Sharifah Maznah Syed Omar, Hadijah Rahmat, Isa Kamari dan Ahamd Md. Tahir untuk puisi berbahasa Melayu. Sarifah Yatiman,

Aug 22, 2009

SANGGAR PUISI - RAMADHAN


Bulan Pemantau Kebesaran-NYA

Apakah itu bulan untukmu
dalam kemelut kerohanian
berdiri engkau dengan kejituan
meraih pengertian berlapar dahaga
memicing indera - kesampingkan ghairah
dalam takwa yang tawaduk
bersujud tarawikh dan witir
bertadarus mendekati firman-NYA
bertahajud dan berzikir
mengharap keberuntungan dari-NYA
memberi dengan patuh
menghayati fitrahnya manusia
Ramadhan mulia bersabda Muhammad s.a.w;
"Itulah bulan untuk umatku".
Bulan pemantau kebesaran-NYA.

Apakah itu Malam penuh kemuliaan
yang datang di akhir malam sepuluh Ramadhan
dan engkau nantikan dengan kekhusyukkan
mengharap keberuntungan
yang datang tidak berupa
yang wujud tidak disangka
tapi ia hadir di depanmu
seperti yang dijanjikan-NYA

Apakah itu hari kemenangan
tibanya disambut meriah
bersama takbir dan tahmid
berdoa dan bersyukur terhadap-NYA
kerana itulah hari haram berlapar dahaga
mengucap syukur menjalin mesra keluarga
sesama ummah yang sujud
hanya kepada MU kekasih
tanpa mengira warna dan kasta
tanpa membeza miskin dan papa
Hari Kemenangan itu diraikan
dengan laungan Allahhuakhbar!
Allahhuakhbar! Allahhuakhbar!
Walillahhilhamd.....!


Eunosasah
3 Disember 2000
7 Ramadhan 1421

*Terbitan: Berita Minggu Singapura.

Aug 21, 2009

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK















Eunosasah dan Isteri - Nora

SALAM Muhibah dan selamat menyambut Ramadhan
kepada semua ummat Islam di mana sahaja Blog ini dapat dibaca.

Terutama kepada teman penulis dan rakan serta taulan dan sahabat handai,
saya menyampaikan ucap selamat menyambut bulan yang penuh barakah ini,
bulan Ramadhan - atau bulan ummatku; sabda Rasullullah s.a.w.

Dari itu marilah kita bersama-sama mengucap syukur kehadrat Illahi yang telah
menemukan kita kembali pada Ramadhan tahun ini.

Semoga kita masih berkesempatan lagi, mompong kamu masih diberi waktu, menyempurnakan ibadah puasa, salah satu rukun Islam yang lima itu. Semoga dapatlah kita Mohon PadaNYA dan Sujud kepadaNYA dengan penuh khusuk dan tawaduk.

Salam dan selamat berpuasa dari saya dan keluarga,
Yang benar
Eunosasah
Taman Damansara Aliff - JB

Aug 20, 2009

KUMPULAN PENULIS MUDA AWAL1970 an



Grafik oleh: Eunosasah

KEBANGKITAN penulis-penulis awal 1970an di Singapura waktu itu merupakan suatu perkembangan terbaru dunia penulisan berbahas Melayu ketika itu.

Tambahan pula ia wujud ketika dunia sastera dan penulisan kreatif di Singapura
waktu itu agak malap.

Pergerakan penulis mapan dalam angkatan ASAS 50, ketika itu kelihatan mendap dan tidak lagi gigih dan aktif seperti perkembangannya di awal penubuhannya.

Kerana itu bidang penulisan kreatif di Singapura menjadi semakin dingin dan seakan-akan tidak bermaya. Oleh kerana keadan itu berlaku ia telah melahirkan ramainya penulis muda yang ingin bersama-sama menyumbang karya-karya kreatif mereka di masa kosong "gap" tersebut.

Dari sekian ramainya penulis muda waktu itu maka tercetuslah idea untuk menubuhkan sebuah kumpulan penulis muda awal 1970an.

Selepas itu berbagai kegiatan dilakukan terutama yang menyngkut apresiasi seni kepada masyarakat.Grup Gelorasa mula mengadakan persembahan dan yang paling ketara ialah majlis Malam Gelorasa yang di adakan di Panggung Mini Kelab Drama Panggung Negara pada 1972 Pimpinan Es Je Saha atau Nadi Putra.

Persembahan dari kalangan penulis muda Grup Gelorasa yang terdri dari Djamal Tukimin, MIA, Nur Yusman Abdulmajid, Nurim, Ajaki, Elfi Runianto, Eunosasah, Shamsidah Sulaiman, Narsen H.S. Nazir ahmad, Saerah M.S. dan ramai lagi turut dihadiri Tetamu Kehormat Sasterawan Kemala dai Malaysia, A. Ghafar Ibrahim (AGI) dan lain-lain.

Bermula dari detik itulah Grup Gelorasa semakin mendapat tempat di hati masyarakat dengan sering muncul mengadakan persembahan deklamasi sajak dan berbagai acara sasa\tera dan penggerak teater kontemporari waktu itu yang masih baru di Singapura.

Menerusi kemunculan Grup Gelorasa ini dengan segala kegiatan yang tidak putus-putus diadakan meraka sama ada di tepi pantai,,tanah lapang, di dewan Radio (RTS) dan pentas serta di Balai-Balai Rakyat, Grup Gelorasa menjadi pemangkin kepada penjanaan semula sastera Melayu di singapura waktu itu.

Kegitatan itu diteruskan dan kesinambungannya menjadi wadah kepada penulis-penulis muda hingga ke hari ini.
Cuba semak kegiatan Baca Puisi, Teater dan Bicara Sastera yang dijalankan oleh penerus golongan penulis muda masakini ia semua merupakanwadah yang telah disiapkan oleh Grup Gelorasa sejak awal kemunculan mereka.

Kami yang masih menyaksikan perkembangan ini amat teruja dengan kesungguhan penerus generasi kami yang berjaya memantapkan bidang penulisan kreatif sastera Melayu di Singapura masakini.