Dec 6, 2009

SELAMAT AIDILADHA & QURBAN



SALAM UNTUK SEMUA

Salam Aidiladha untuk semua yang melayari laman blog ini.
Alhamdulillah kita telah sama-sama meraikan hari raya Aidiladha
dengan rasa bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan
kesempatan bertemu kembali di hari barakah ini Hari raya Aidiladha
atau Hari Raya Qurban.

Tahun ini aku bersyukur kerana Anakku Nadzri dan isteri Nurhayati,
telah ke tanah suci Makkah mennaikan rukun Islam ke-lima,
menyempurnakan Ibadah Haji. semoga mereka mendapat
Haji Mabrur dan selamat pulang ke tanah air. AMIN!

Aku juga bersyukur kepadamu ya Allah, kerana tahun ini kami dari warga
Muslimin dan Muslimah, Taman Damansara Aliff Tampoi, JB- JDT,
buat pertamakalinya menjalankan ibadah Solat Aidiladha dan Qurban dua ekor
Lembu Si Hitam dan Si Puteh, di perkarangan Surat Muhajirin Muhammad, TDA.
Alhamdulillah! Terlaksana sudah hasrat menjalani ibadah Qurban mereka
yang bersedia berqurban demi menyahut seruan Illahi, agar lebih arif dan taat
kepada perintah Allah SWT.

Sempena sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini, semua ummat Islam
seluruh dunia menuruti perintah Allah agar berqurban sebagai
menyatakan rasa bersyukur kepadaNYA sebagaimana yang dilakukan
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menyatakan ketaatan menurut
perintah Allah SWT itu, kepadanya.


Oct 13, 2009

SANGGAR PUISI - MENGUNDANG RINDU













Lambang Kasih

Penanda ikatan tulus ikhlas utusan naluri
dari jiwa ke jiwa
mengundang rindu mendalam
erti sebuah tautan
kasih sayang dua insan..

Grafik Hiasan: Kreasi Kartika
Foto: Eunosasah

MENGUNDANG RINDU

Bertayangan gambar-gambar wajah
di pembaringan lesu letih seharian
benak penuh berserabut seribu persoalan
dalam diam yang terus mendesah, mendesak
bagai menanti meletusnya merapi.

Aku bosan menanti penuh harap
sebuah kemestian yang tidak ketahuan hujungnya
esok atau lusa dan seterusnya
ku tetap tidak dapat mengelak mendepani

suasana penuh kekalutan
dalam kemelut rindu yang dalam.

Semuanya mengancam fikiran
dalam anganan yang mengawang

mengundang rindu ini di kala tidur
tanpa pamit

menyelusuri langkah-langkah longlai
kerana semalam yang dijanjikan
entah kapan akan tertunai
segala yang belum pasti

hanya dalam mimpi ia tergambar.

Apalah jiwanya sebuah rindu
bila mengundangnya di kala pembaringan

bermulalah ia mengusik kenangan.

Eunosasah
Tmn Damansara Aliff JB
4 Oktober 2009

Oct 11, 2009

KENANGAN ABADI

Foto: Eunosasah
Foto ini ku rakam dalam satu majlis makan malam
COMPASS, persatuan Penulis Lirik, Pencipta Lagu, dan Puzik Singapura.
Kelihatan dalam Gambar Temanku Allahyarham Haron Abdulmajid
sedang menerima Anugerah COMPASS dari Yb. Encik Abdullah Tarmugi.

Oct 1, 2009

SALAM LEBARAN UNTUK SEMUA

SEMPENA Idilfitri yang mulia ini, kami sekeluarga
menyampaikan ucapan salam dan maaf zahir batin
kepada semua Muslimin dan Muslimat dimana saja
laman blog kami ini dapat di layari.












Foto keluarga: dari kiri, Abu Sofian Eunos,
Eunosasah, Isteri Nora dan Nadzirah Eunos.

Sep 6, 2009

SEKILAS KENANGAN BERSAMANYA....


Aku bergambar bersama M.Nasir, pencipta lagu puisiku
Kepada MU Kekasih, ketika bertemu beliau di K.L. 1984
Sekilas kenangan.... Sewaktu M. Nasir di Singapura dulu, ketika beliau mula bergiat dalam dunia hiburan - aku, M. Nasir dan seorang lagi teman S. Amin Sahab, serta kumpulan Ideal Sister ,Allahyarhamah Junainah atau Nana, isteri pertama M. Nasir serta A. Ali, kami merupakan teman akrab.
Kami semua sama bergerak di bidang hiburan dan drama tv/pentas dan kami pernah buat persembahan teater berbentuk satira, berjudul, SETIAUSAHA karya M. Nasir dan dipentaskan di Panggung Drama Canning Rise, pada 1982.

SANGGAR PUISI - DI PANTAI INI


Foto dirakam Eunosasah
Pantai East Coast Park - 2008
DI PANTAI INI
"....di sini, penuh debar menanti
bagai desir ombak
yang tidak pernah malas
menampar pantai
aku terus mengimbau
masa nan berlalu
masa nan datang meluru
persis deru bayu
di pantai ini
apakah masih ada
rentetan waktu yang membawa
kemilau kelmarin
tenggelam di dasar waktu
yang datang dan pergi
bagai ombak ini
dan tidak pernah henti
biarpun betapa lamanya
selagi setiamu
di sini..."
EUNOSASAH
Pasir Ris 1984
Dwi Mingguan Aneka

MAHUKAH KITA MENGGEMBLENG TENAGA DALAM...

SETELAH agak lama tidak bergiat aktif dalam mengadakan persembahan sastera dengan mengadakan majlis-majlis Baca Puisi bersama teman-teman penulis 70an, kini aku merasakan
sesuatu yang wajar pula jika kita dapat mempersembahkan di khalayak, majlis baca puisi atau deklamasi sajak yang disertai seluruh penulis Singapura dan undangan dari rantau Nusantara
ini di adakan di sini.

Aku suka cadangkan Majlis ini diadakan secara bersama dari semua badan dan pertubuhan penulis berbahasa Melayu di Singapura ini untuk menyertainya.

Ia juga di harap mendapat sokongan padu dari penulis kawakan, dan penulis muda yang kini baru menceburi bidang penulis ini dan semua lapisan masyarakat di sini.

Aku juga berharap pihak Media Massa, radio dan telivisyen, akhbar dan majalah serta badan-badan pertubhan Melayu seperti Majlis Pusat, Perkumpulan Seni, Sriwana, Penulis Remaja BH, Berita Harian/Minggu, ASAS 50, atau pun badan-badan berkanun seperti Perpustakaan Nasional, DPPMS dan badan koporat yang ada; boleh memikirkan corak kerjasama tersebut dan peranan masing-masing dalam mempromosi serta melestarikan sastera Melayu terus mekar di Singapura kini.

Aku hanya sarankan ini dan akan sentiasa bersama mereka yang mahu meneruskan cadangan ini.

Marilah kita fikir dan pastikan cadangan ini boleh kita lakukan bersama seperti kata pepatah;
"HENDAK SERIBU DAYA...TAK HENDAK SERIBU DALEH.."

Salam muhibah dan selamat meneruskan ibadah Puasa. Semoga kita bersua di satu pertemuan kelak. Amin!!!Wassalam.